Makan Gaji Tetapi Kaya

makan-gaji-tetapi-kaya_20170202_003.jpg

Makan gaji sering dikaitkan dengan tidak cukup wang. Kalau pepatah lama ada menyebut “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”, kini pepatah baru yang direka “kais bulan makan bulan”, ia merujuk kepada situasi pekerja yang makan gaji. Memang rata-rata pekerja makan gaji, hidup dengan wang gaji yang diterima, dari bulan ke bulan. Jarang sekali kita mendengar pekerja makan gaji berkata “gaji bulan lepas belum habis lagi, dah dapat gaji lagi bulan ini.”

Saya pernah bertemu dengan pekerja makan gaji yang seperti itu, dimana gajinya pada bulan lepas belum habis lagi, dah masuk gaji untuk bulan ini. Namun, harus juga saya terangkan, orang itu gajinya besar. Walaupun begitu, banyak juga yang kita dengar, orang yang gajinya besar, tapi komitmennya juga besar. Kalau kita kaitkan dengan tajuk Makan Gaji Tetapi Kaya, orang yang gajinya besar, belum tentu kaya. Setiap bulan tertunggu-tunggu duit gaji masuk pada hujung bulan.

Jadi bagaimana untuk kita yang makan gaji ini hendak kaya? Jawabnya ialah dengan mencari ilmu. Saya dapatkan jawapannya dari satu buku tulisan Shamsuddin Kadir yang bertajuk Makan Gaji Tetapi Kaya.

Kita sering dengar, orang berkata, untuk jadi kaya, kena berniaga, makan gaji tak boleh jadi kaya. Mungkin ada benarnya. Namun, tak semua orang dikurniakan bakat mejalankan perniagaan. Setiap insan, punya kelebihan bakat yang tersendiri dan unik. Dalam pada itu, kita juga sedar, orang yang gajinya sekitar RM1000 ke RM2000 agak sukar untuk jadi kaya. Sukar, tapi tak bermakna mustahil.

Apa yang saya faham, sekiranya gaji kita kecil, usahakan untuk tambah pendapatan. Kalau di tempat kerja boleh buat kerja lebih masa (over time), buat over time. Kalau ada komisen atas jualan, tingkatkan jualan. Kalau dah habis ikhtiar di tempat kerja, buat kerja separuh masa (part time), di luar waktu kerja. Banyak lagi ikhtiar yang boleh kita lakukan untuk tambahkan pendapatan.

Selain itu, tambahkan kecekapan dan kemahiran dalam melakukan tugas, mudah-mudahan orang atasan kita akan nampak kesungguhan kita, dan menaikkan pangkat serta gaji kita.

Selepas dah tambah pendapatan. Kenalah berjimat, menyimpan. Simpan untuk waktu kecemasan. Takut-takut organisasi tempat kita bekerja tak mampu nak gajikan pekerja, takut-takut kita yang terkena dengan langkah pembuangan pekerja. Andai ada duit simpanan kecemasan, bolehlah digunakan untuk belanja seharian, sementara kita mencari peluang kerja lain.

Apabila gaji kita meningkat, cabarannya ialah kekal dengan gaya hidup sebelum ini. Ini cabaran yang sungguh sukar. Apanila gaji naik sikit, tapi gaya hidup naik mendadak. Nak tukar kereta baharu, nak makan di restoran sedap-sedap, hari-hari, ini semua yang boleh merosakkan rancangan untuk kita yang makan gaji ini hendak menjadi kaya.

buku-makan-gaji-tetapi-kaya

Nasihat saya pada diri saya sendiri, kalau naik gaji, kawal keinginan untuk berbelanja, bertenang, semak dahulu hutang-hutang yang boleh dilangsaikan dahulu. Semak juga berapa simpanan kecemasan yang dah ada. Kalau semak simpanan untuk pelaburan, “huhu.. belum ada lagi.”

Dalam buku Makan Gaji Tetapi Kaya ini, hasil pendapatan tambahan datang dari pelaburan hartanah, selain dari kerja-kerja tambahan atau sampingan yang kita lakukan. Apabila disebut pelaburan, pastilah ianya merupakan proses yang mengambil masa. Bukan labur hari ini, esok dah boleh tuai hasil. Maka kita perlu sangat bersabar dan berdisiplin. Sabar dalam mengumpulkan modal untuk melabur, berdisiplin untuk tidak gatal tangan mengusik duit yang telah banyak terkumpul itu.

Prinsipnya, saya nampak tidak jauh berbeza. Tambah jumlah pendapatan, simpan untuk kecemasan, simpan untuk melabur, ulang sehingga kaya. Ia perjalanan yang mengambil masa, jadi kita perlu bersabar.

buku-makan-gaji-tetapi-kaya


Tags: Buku

  • Created on .
  • Hits: 1214