Baca Buku, Edit Video, Jalan-jalan.

Random

Azam tahun baru, jangan hebohkan

Saya terjumpa satu video yang bagus, membicarakan tentang matlamat atau dalam bahasa Inggeris disebut sebagai goal. Di awal tahun, ramai yang bercakap tentang azam tahun baru, apa yang ingin dicapai dalam tahun baru ini. Azam, atau matlamat, atau gol yang ingin anda capai dalam tahun ini, jangan umumkan, jangan hebohkan kepada sesiapa pun. Kenapa?

1 – Orang akan mempersendakan kita.

Saya kira ini antara lumrah manusia, mudah terhibur dengan gelagat orang yang mudah memasang impian, mudah berazam, tapi bila sampai bab melaksanakan pelan tindakan untuk mencapai azam, sembang tinggal sembang sahaja. Kita di Malaysia ini mewah dengan makanan. Jadi tidak hairanlah ramai orang Malaysia yang besar saiz badannya. Boleh dikatakan, azam untuk kuruskan badan adalah antara azam yang paling banyak diperkatakan di awal tahun baru.

Apabila kita sebut sahaja “azam aku tahun ni nak kurangkan 10kg berat badan.” Mungkin akan ada kawan-kawan yang dah banyak kali dengar ayat itu akan jawab, “hmm.. tahun lepas pun kau azam macam tu.” Kita mungkin terus lemah semangat.

Inilah antara sebab kenapa kita dinasihatkan supaya jangan hebohkan azam kita. Kalau ada azam yang baik untuk dicapai, tulislah atas kertas, dan biarkan kita sahaja yang tahu. Tak perlu umukan kepada sesiapa pun. Paling penting, kita mesti terus bertindak. Biarkan hasil usaha kita yang menceritakan azam baru kita.

Ambil contoh nak kuruskan badan tadi, tak payah umum kepada orang ramai, kita terus sahaja dapatkan ilmu bagaimana untuk kurus, dapatkan buku ini misalnya, dan kita terus laksanakan langkah-langkah untuk kuruskan badan. Lepas 3 bulan, selalunya selepas 3 bulan kita laksanakan pelan untuk kuruskan badan, orang akan mula perasan yang kita memang serius berazam untuk kuruskan badan. Nampak?

2 – Perasaan pencapaian yang palsu

Ini satu aspek yang kita selalu tertipu. Kita merasakan yang kita telah mencapai sesuatu, sedangkan kita cuba sembang sahaja. Contohnya, kita kata “aku nak lari martahon lah tahun ni”. Kita merasakan yang kita sudah berbuat sesuatu, sekurang-kurangnya kita dah ada niat nak lari marathon. Ayat yang kita gunakan untuk pujuk hati yang rasa bersalah kalau kita tak lari marathon tahun itu.

Kita kata pada kawan kita “ tahun ni aku nak bebas dari hutang.” Kawan kita pun angguk sahaja. Kita pula sudah berasa seperti dah bebas hutang, walau ia hanya sembang semata. Dari bulan ke bulan kita berbelanja tanpa kawalan, tidak rekod perbelanjaan dan pendapatan, tidak ada ilmu yang betul dalam menguruskan kewangan. Akhirnya, pada hujung tahun, hutang itu masih ada, bahkan bertambah besar.

Tak payah hebohkan azam anda, buat sahaja.

Jadi, apa yang harus kita buat untuk capai azam atau gol kita? Pertama sekali, jangan hebohkan azam baru kita, tulis atas kertas dan biarkan kita sahaja yang tahu. Kedua, terus laksanakan pelan rancangan azam kita. Kalau kita tak tahu nak mula dari mana, dapatkan ilmu dahulu. Cari buku-buku yang berkaitan dengan bidang yang ingin kita capai. Buat sahaja, dan disiplinkan diri, moga istiqamah, konsisten dalam menrealisasikan impian azam kita.

Saranan yang seterusnya ialah, ubah ayat penyataan azam kita itu kepada tindakan kecil yang boleh kita lakukan setiap hari. Contoh, ubah dari berkata “aku nak kurus tahun ni,” kepada “aku akan kawal pengambilan kalori harian supaya di sekitar 1500 kalori sehari”.

Dari “aku nak lari marathon tahun ini,” kepada “aku akan berlatih berlari 30 ke 45 minit larian 5 kali seminggu,” sebagai contoh.

Dari “tahun ini aku nak bebas hutang tahun ini” kepada “aku akan pastikan aku cuma belanja RM10 sehari untuk makan, dan aku akan rekod perbelanjaan harian aku.”

Begitulah sedikit input yang saya dapat dari video bertajuk “Don’t talk your goals” oleh Thomas Frank. Apabila difikirkan semula, kita mudah sembang azam tahun baru kita, kemudian kita berasa seolah-olah kita dah capai sesuatu. ‘Sekurang-kurangnya kita dah ada niat’. Itulah yang kita silap. Apabila dah ada niat, kuatkan semangat, dan usahakan hingga tercapai impian kita.

Selamat maju jaya dalam menggapai impian.

Ini video yang saya maksudkan.